PERSABAR di rancangan Assalamualaikum

Pagi tadi PERSABAR sekali lagi menjadi tetamu di dalam rancangan Assalamualaikum. Kali ini PERSABAR membawa dua lagi tetamu iaitu Setiausaha Kehormat PERSABAR, Sdra Fadhlil Azim Jamaluddin dan juga Pengarah Urusan D’Tandoor Food Industries Sdn Bhd merangkap Penasihat PERSABAR membincangkan mengenai Dapur Ramadhan yang telah dijalankan pada Khamis lepas dan juga sumbangan 5% daripada jualan Bufet Ramadhan yang dibuat oleh rangkaian restoran D’Tandoor untuk disumbangkan kepada tabung dana Ramadhan Shahrul Musawwah sebagai salah satu aktiviti CSR syarikat tersebut.

Seperti yang En Malik nyatakan, kita berkemampuan untuk berbuka puasa di di hotel yang rata-ratanya berharga RM80 hingga RM100 perpax dengan berpuluh juadah disediakan. Tetapi kita kurang prihatin kepada mereka yang tidak bernasib baik yang mahu mencari sesuap nasi pun susah. Bulan Ramadhan adalah bulan yang memberi kita peluang untuk mencari ganjaran Allah sebanyak-banyaknya.

InsyaAllah PERSABAR akan bersiaran sekali lagi di rancangan Assalamualaikum terbitan TV AlHijrah setiap hujung minggu. Jangan lepaskan peluang untuk menonton siaran ini bagi mengetahui perkembangan terkini PERSABAR.

 

Ikuti Perkembangan PERSABAR

Jika anda ingin mengikuti perkembangan terkini aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh PERSABAR, bolehlah ikuti medium-medium online berikut:

  1. Twitter #Bakti_Ramadhan
  2. Flickr Bakti Ramadhan Malaysia
  3. Facebook: PERSABAR
  4. Youtube : 2011baktiramadhan
  5. Laman web : www.baktiramadhan.org

Atau boleh hubungi terus dengan Setiausaha Kehormat PERSABAR, Sdra Fadhlil Azim Jamaluddin (010-435 7776) dan Pengarah Kempen Ramadhan Shahrul Musawwah, Sdra Mar Izwan Marzuki (017-667 9272)

PERSABAR di rancangan Assalamualaikum

Sekali lagi PERSABAR ke udara di dalam rancangan Assalamualaikum terbitan TV AlHijrah pagi tadi. Kali ini, Pengarah Kempen Ramadhan Shahrul Musawwah, Sdra Mar Izwan Marzuki menjadi tetamu dan membincangkan tentang perkembangan Ziarah Ramadhan dan Iftar Mekah yang akan dijalankan tidak lama lagi. Alhamdulillah, sumbangan dari orang ramai masih kami terima bagi menjalankan Dapur Ramadhan dan Iftar Mekah.

Mar Izwan bersama Shahrul Faizie dan Irma Hasmie selaku pengacara rancangan Assalamualaikum

Semasa bersiaran, kami menerima panggilan dari Puan Fatimah Mahmud dari Teluk Kemang ingin memohon bantuan kepada anak saudara yang sedang dijaga olehnya yang berumur 16 tahun kerana menurut Puan Fatimah sudah tidak menerima bantuan Baitulmal atau pun JKM. Boleh hubungi Mar Izwan di talian 017-667 9272 untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Puan Fatimah.

Sebaik sahaja selesar bersiaran, kami mendapat pesanan teks dari seorang hamba Allah yang mahu memberi sumbangan untuk membeli sebuah mesin jahit yang akan diberikan kepada Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi. Alhamdulillah, semoga sumbangan ini akan diberkati dan dirahmati Allah SWT. Untuk pengetahuan pembaca, Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi memerlukan beberapa mesin jahit untuk memberi peluang kepada anak-anak yatim di sana khususnya anak-anak yatim perempuan untuk belajar menjahit dan seterusnya mampu untuk menyediakan perkhidmatan jahitan pakaian sebagai salah satu sumber pendapatan.

Oleh yang demikian, kepada anda yang mahu menyumbang, boleh hubungi Mar Izwan di talian 017-667 9272 atau email mar@baktiramadhan.org atau hubungi pejabat PERSABAR di talian 03-6185 4305. Dengan izin Allah, PERSABAR akan ziarah sekali lagi ke Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi pada Ahad, 21 Ogos 2011 untuk menyerahkan mesin jahit dan beriftar bersama mereka. Kepada anda yang mahu menyertai Ziarah Ramadhan ini, kami amat mengalu-alukan penglibatan anda.

Bufet Ramadhan di Restoran D’Tandoor

Bersempena Kempen Ramadhan Shahrul Musawwah, Restoran D’Tandoor telah mengadakan bufet istimewa Ramadhan bermula dari RM45+ bagi dewasa. Lebih dari 20 jenis sajian harian disediakan dan menariknya, setiap hari akan dihidangkan menu yang berlainan selama  seminggu. Datang lah beramai-ramai kerana setiap 4 pax yang datang, pax yang kelima adalah percuma!

Atas rasa tanggungjawab dan sebahagian dari aktiviti CSR (Corporate Social Responsibility) D’Tandoor Food Industry Sdn Bhd, sebahagian dari jualan bufet Ramadhan ini akan disumbangkan kepada Tabung Ramadhan Shahrul Musawwah.

Oleh itu, marilah ke Restoran D’Tandoor untuk menikmati masakan Utara India. Terdapat tiga cawangan iaitu di Damansara Utama, Subang Jaya dan di Menara Kuala Lumpur.

Berbuka puasa sambil beramal.

Rumah Anak Yatim Sekendi, Sabak Bernam

Semalam, PERSABAR telah menziarahi Rumah Anak Yatim Sekendi di Sabak Bernam. Objektif ziarah adalah untuk mengenali dengan lebih dekat penjaga rumah kebajikan tersebut yang difahamkan adalah golongan kelainan upaya (OKU). Setelah tiba di Sungai Besar, kami singgah sebentar di stesen Petronas untuk bertanya arah ke rumah anak yatim tersebut. Alangkah terkejutnya kami kerana pekerja di stesen minyak tersebut merupakan bekas penghuni Rumah Anak Yatim Sekendi dan telah meninggalkan rumah tersebut sepuluh tahun dahulu.

Kak Hamisah, bekas penghuni Rumah Anak Yatim Sekendi yang sudah berkeluarga dan bekerja di Stesen Petronas

Setelah mengikut arah dan panduan dari Kak Hamisah, kami tiba di depan papan tanda Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi. Kami disambut oleh penjaga asrama tersebut, Ustaz Halimi dan beliau bercerita serba sedikit mengenai rumah kebajikan ini yang diusahakan oleh arwah ayahanda Ustaz Halimi sendiri 26 tahun dahulu.

Penjaga dan pengasa Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi, Ustaz Halimi

Sebaik sahaja bertemu dengan Ustaz Halimi, pelbagai persoalan timbul di dalam pemikiran kami. Bagaimana Ustaz Halimi menjaga asrama ini? Mampukan Ustaz Halimi menjaga lebih dari 30 anak-anak yatim di sini? Apa yang menyebabkan Ustaz Halimi sanggup dan mampu menguruskan asrama ini selama hampir 30 tahun? Kegigihan dan keazaman beliau amat kami sanjungi dan hormati. Jarang insan seperti beliau yang mampu untuk berbuat demikian. Ustaz Halimi adalah insan luar biasa!

Ustaz Halimi membawa kami ke asrama, iaitu 200 meter dari rumah beliau. Sambil beliau bergerak dengan menggunakan kerusi roda bermotor, beliau menceritakan kisah sejarah Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi sehingga keadaannya kini.

Surau yang baru dicat oleh Celcom

Papan tanda asal Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi

Dapur yang digunakan untuk menyediakan makanan untuk anak-anak yatim

Bangunan asal asrama anak-anak yatim

Menurut Ustaz Halimi, kini 25 orang anak-anak yatim perempuan yang tinggal di asrama dan 20 orang anak-anak yatim lelaki tinggal bersama ibu mereka di rumah. Persekolahan mereka diuruskan oleh Ustaz Halimi sendiri dan ibu-ibu tunggal akan datang membantu dari segi penyediaan makanan dan sebagainya.

PERSABAR bercadang untuk mengadakan kursus peningkatan kemahiran seperti menjahit kepada anak-anak yatim perempuan yang menetap di sana. Disamping mereka dapat manfaat dari kursus tersebut, ia boleh dijadikan pendapatan sampingan dengan mengambil upah menjahit pakaian, langsir dan sebagainya.

Oleh yang demikian, kepada anda semua yang mahu mendermakan mesin jahit yang tidak digunakan lagi dan masih boleh dipakai, bolehlah sedekahkan kepada mereka. InsyaAllah dengan keberkatan sumbangan itu, mereka dapat manfaatkannya. Jika ada antara anda yang tinggal berdekatan dengan asrama ini dan ingin menyumbangkan tenaga dan masa untuk mengajar anak-anak yatim ini asas kemahiran menjahit, boleh datang sendiri ke Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi atau boleh hubungi Mar Izwan di talian 017-667 9272 untuk keterangan lanjut.

Dapur Ramadhan

Alhamdulillah, Dapur Ramadhan berjaya dilakukan buat kali kedua pada hari ini. Kali ini Skuad Dapur Ramadhan singgah di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur untuk mengagihkan makanan. Lokasi pertama adalah di Balai Bomba Jalan Hang Tuah. Skuad Dapur Ramadhan mengagihkan lebih 20 bungkusan makanan kepada pegawai-pegawai bomba yang akan berbuka puasa di balai.

Seterusnya Skuad Dapur Ramadhan ke Balai Polis Jalan Tun Razak dan mengagihkan lebih 20 bungkusan makanan juga kepada pegawai-pegawai polis di sana.

PERSABAR bersama pegawai bomba di Balai Bomba Jalan Hang Tuah

Antara pegawai-pegawai polis yang menerima bungkusan makanan untuk berbuka

Seterusnya Skuad Dapur Ramadhan ke LRT Ampang Park untuk mengagihkan makanan di sana.

Sukarelawan PERSABAR, Sdri Intan turut membantu mengagihkan makanan sebaik sahaja pulang dari kerja

Sukarelawan PERSABAR, Sdri Fazlina membantu mengagihkan makanan

Pegawai-pegawai di LRT Ampang Park gembira apabila mereka diraikan dengan pemberian makanan buka puasa

Diharapkan agar Dapur Ramadhan dapat dijalankan pada masa terdekat untuk kita raikan mereka yang tidak sempat untuk berbuka bersama keluarga di rumah. Sumbangan ikhlas dari anda semua amat kami alukan agar PERSABAR dapat menyediakan juadah berbuka puasa dan diagihkan kepada golongan yang memerlukan di sekitar Lembah Kelang.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Ambank Islamic 0742022006387 (Pertubuhan Sukarelawan Amal Bakti Ramadhan Malaysia) atau hubungi Mar Izwan di talian 017-667 9272 untuk keterangan lanjut.