Salam Aidilfitri

PERSABAR ingin mengucapkan Salam Aidilfitri kepada semua umat Islam di Malaysia dan di serata dunia. Jadikanlah Syawal pada tahun ini sebagai bulan muhasabah dan tarbiyah diri setelah kita berjaya mendidik diri sepanjang bulan Ramadhan. Bersederhanalah kita dalam menjalani kehidupan seharian kita dah sentiasalah mengingati mereka yang hidup dalam serba kekurangan.

Dikesempatan ini juga PERSABAR ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia kali ke-54. Jadikanlah sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan sebagai panduan dan pengajaran agar kita tidak lupa akan pengorbanan nenek moyang kita.

PERSABAR juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka yang dengan murah hati memberi sumbangan dan sokongan demi meringankan beban golongan yang memerlukan. Penghargaan juga ditujukan kepada TV AlHijrah kerana memberi ruang kepada PERSABAR untuk mempromosikan Kempen Ramadhan Shahrul Musawwah kepada khalayak. Tidak lupa juga kepada rangkaian Restoran D’Tandoor kerana memberi sokongan kepada kami sejak awal lagi dan setiap sumbangan dan sokongan anda tidak akan kami lupakan.

Semoga tahun ini menjadi tahun yang luar biasa bagi kita semua dengan meningkatkan usaha amal bakti kebajikan dan membantu mereka yang memerlukan.

Tadarus Infaq

PERSABAR akan memulakan program Tadarus Infaq di Institut Hafiz Klang bermula jam 3 petang. Seramai lebih 300 para hafiz akan membuat 30 halaqah dan akan bertadarus dan menyedekahkan bacaan Al-Quran kepada senarai arwah yang diterima daripada penyumbang program ini.

Program akan diteruskan dengan iftar dan solat terawih. PERSABAR akan menyiarkan gambar dan video perjalanan majlis selepas ini.

Bersama-samalah kita mengejar ganjaran yang berganda-ganda di penghujung Ramadhan. Semoga setiap amalan kita diterima dan dirahmati.

Wassalam.

Iftar Mekah

PERSABAR dengan kerjasama Haji & Mu’tamer’s Gift Charity Association of Makkah (www.hajigift.org) telah berjaya menjalankan program Iftar Mekah. Sumbangan dermawan-dermawan di Malaysia telah diserahkan kepada pihak di Mekah untuk penyediaan juadah iftar (berbuka puasa) untuk meraikan jemaah-jemaah umrah di Masjidil Haram.

Hj Rahim berbincang berkenaan Iftar Mekah dengan Presiden Haji & Mu'tamer's Gift Charity Association Makkah, Sheikh Mansoor.

Penyerahan sumbangan kepada Sheikh Mansoor untuk penyediaan juadah berbuka puasa kepada jemaah umrah

Iftar Mekah akan dijalankan sekali lagi oleh PERSABAR pada penghujung Ramadhan. Kepada mereka yang mahu menyumbang untuk Iftar Mekah, peluang anda masih terbuka.

Contoh-contoh barangan yang akan disumbangkan kepada jemaah Haji dan Umrah

Hj Rahim bersama wakil Haji & Mu'tamer's Gift Charity Association of Makkah di Masjidil Haram

Galeri gambar dari http://www.hajigift.org yang memaparkan suasana berbuka puasa yang dijalankan oleh Haji & Mu'tamer's Gift Charity Association

Ziarah Ramadhan : Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi

Salam semua,

Atas beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan pada hari ini, PERSABAR akan menunda tarikh Ziarah Ramadhan ke Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi, Sabak Bernam pada 24 Ramadhan (Rabu) nanti, InsyaAllah.

Harap maklum.

Program PERSABAR

Berikut adalah 2 program yang akan dijalankan oleh PERSABAR dalam waktu terdekat:

Ziarah Ramadhan

Tarikh             : 24 Ramadhan 1432H / 24 Ogos 2011
Masa              : 6.30ptg – 10.00mlm
Tempat          : Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi, Sabak Bernam
Aktiviti             : Iftar bersama anak-anak yatim, terawih, penyerahan mesin jahit

Tadarus Infaq

Tarikh            : 25 Ramadhan 1432H / 25 Ogos 2011
Masa             : 8.00 pagi – 10.00 malam
Tempat         : Institut Hafiz Klang
Aktiviti           : Tadarus, iftar bersama pelajar tahfiz, terawih

Bagi mereka yang ingin memberi sumbangan kepada mana-mana program di atas, boleh lah berbuat demikian dengan klik kepada link ini.

PERSABAR di rancangan Assalamualaikum

Pagi tadi PERSABAR sekali lagi menjadi tetamu di dalam rancangan Assalamualaikum. Kali ini PERSABAR membawa dua lagi tetamu iaitu Setiausaha Kehormat PERSABAR, Sdra Fadhlil Azim Jamaluddin dan juga Pengarah Urusan D’Tandoor Food Industries Sdn Bhd merangkap Penasihat PERSABAR membincangkan mengenai Dapur Ramadhan yang telah dijalankan pada Khamis lepas dan juga sumbangan 5% daripada jualan Bufet Ramadhan yang dibuat oleh rangkaian restoran D’Tandoor untuk disumbangkan kepada tabung dana Ramadhan Shahrul Musawwah sebagai salah satu aktiviti CSR syarikat tersebut.

Seperti yang En Malik nyatakan, kita berkemampuan untuk berbuka puasa di di hotel yang rata-ratanya berharga RM80 hingga RM100 perpax dengan berpuluh juadah disediakan. Tetapi kita kurang prihatin kepada mereka yang tidak bernasib baik yang mahu mencari sesuap nasi pun susah. Bulan Ramadhan adalah bulan yang memberi kita peluang untuk mencari ganjaran Allah sebanyak-banyaknya.

InsyaAllah PERSABAR akan bersiaran sekali lagi di rancangan Assalamualaikum terbitan TV AlHijrah setiap hujung minggu. Jangan lepaskan peluang untuk menonton siaran ini bagi mengetahui perkembangan terkini PERSABAR.