Tadarus Infaq

Assalamualaikum,

Kepada mereka yang mahu memberi sumbangan atau niat utk memberi sedekah bacaan Al-Quran kepada arwah-arwah keluarga atau saudara mara, bolehlah berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaum AmBank Islamic PERSABAR 0742022006387. Sila berikan nama penuh pengirim berserta alamat dan juga nama penuh arwah yang ingin disedekahkan bacaan Al-Quran.

Tadarus Al-Quran ini akan dibaca oleh lebih 300 pelajar tahfiz dari Institut Hafiz Klang dan akan diadakan juga majlis iftar (berbuka puasa), tahlil dan bersolat terawih. Sumbangan minimum RM300 bagi kesemua majlis tersebut.

Untuk keterangan lanjut boleh hubungi Mar Izwan di talian 017-6679272 atau email kepada mar@baktiramadhan.org.

Wassalam

Ziarah Ramadhan : Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi

Salam semua,

Atas beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan pada hari ini, PERSABAR akan menunda tarikh Ziarah Ramadhan ke Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi, Sabak Bernam pada 24 Ramadhan (Rabu) nanti, InsyaAllah.

Harap maklum.

Program PERSABAR

Berikut adalah 2 program yang akan dijalankan oleh PERSABAR dalam waktu terdekat:

Ziarah Ramadhan

Tarikh             : 24 Ramadhan 1432H / 24 Ogos 2011
Masa              : 6.30ptg – 10.00mlm
Tempat          : Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi, Sabak Bernam
Aktiviti             : Iftar bersama anak-anak yatim, terawih, penyerahan mesin jahit

Tadarus Infaq

Tarikh            : 25 Ramadhan 1432H / 25 Ogos 2011
Masa             : 8.00 pagi – 10.00 malam
Tempat         : Institut Hafiz Klang
Aktiviti           : Tadarus, iftar bersama pelajar tahfiz, terawih

Bagi mereka yang ingin memberi sumbangan kepada mana-mana program di atas, boleh lah berbuat demikian dengan klik kepada link ini.

Ziarah Ramadhan – Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi, Sabak Bernam.

InsyaAllah pada Ahad ini, 21 Ramadhan 1432H / 21 Ogos 2011, PERSABAR akan menziarahi Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi, Sabak Bernam. Kami akan berbuka puasa bersama-sama dengan anak-anak yatim penghuni asrama tersebut dan juga penyerahan mesin jahit kepada penjaga asrama, Ustaz Halimi. Mesin jahit ini adalah sumbangan dari orang ramai yang turut serta membantu meringankan beban penghuni di Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi.

Kepada mereka yang ingin turut serta dalam ziarah ini, bolehlah menghubungi Sdra Mar Izwan di talian 017-667 9272. Anda juga boleh membawa juadah berbuka puasa anda sendiri untuk berkongsi bersama-sama sewaktu iftar nanti. PERSABAR juga memohon kepada mana-mana pihak yang ingin memberi khidmat dari segi masa dan tenaga yang boleh mengajar anak-anak yatim ini kaedah menjahit pakaian seperti baju kurung agar kemahiran ini dapat mereka manfaatkan dengan mendapat sedikit sebanyak pendapatan bagi menampung perbelanjaan mereka.


PERSABAR di rancangan Assalamualaikum

Sekali lagi PERSABAR ke udara di dalam rancangan Assalamualaikum terbitan TV AlHijrah pagi tadi. Kali ini, Pengarah Kempen Ramadhan Shahrul Musawwah, Sdra Mar Izwan Marzuki menjadi tetamu dan membincangkan tentang perkembangan Ziarah Ramadhan dan Iftar Mekah yang akan dijalankan tidak lama lagi. Alhamdulillah, sumbangan dari orang ramai masih kami terima bagi menjalankan Dapur Ramadhan dan Iftar Mekah.

Mar Izwan bersama Shahrul Faizie dan Irma Hasmie selaku pengacara rancangan Assalamualaikum

Semasa bersiaran, kami menerima panggilan dari Puan Fatimah Mahmud dari Teluk Kemang ingin memohon bantuan kepada anak saudara yang sedang dijaga olehnya yang berumur 16 tahun kerana menurut Puan Fatimah sudah tidak menerima bantuan Baitulmal atau pun JKM. Boleh hubungi Mar Izwan di talian 017-667 9272 untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Puan Fatimah.

Sebaik sahaja selesar bersiaran, kami mendapat pesanan teks dari seorang hamba Allah yang mahu memberi sumbangan untuk membeli sebuah mesin jahit yang akan diberikan kepada Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi. Alhamdulillah, semoga sumbangan ini akan diberkati dan dirahmati Allah SWT. Untuk pengetahuan pembaca, Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi memerlukan beberapa mesin jahit untuk memberi peluang kepada anak-anak yatim di sana khususnya anak-anak yatim perempuan untuk belajar menjahit dan seterusnya mampu untuk menyediakan perkhidmatan jahitan pakaian sebagai salah satu sumber pendapatan.

Oleh yang demikian, kepada anda yang mahu menyumbang, boleh hubungi Mar Izwan di talian 017-667 9272 atau email mar@baktiramadhan.org atau hubungi pejabat PERSABAR di talian 03-6185 4305. Dengan izin Allah, PERSABAR akan ziarah sekali lagi ke Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi pada Ahad, 21 Ogos 2011 untuk menyerahkan mesin jahit dan beriftar bersama mereka. Kepada anda yang mahu menyertai Ziarah Ramadhan ini, kami amat mengalu-alukan penglibatan anda.

Rumah Anak Yatim Sekendi, Sabak Bernam

Semalam, PERSABAR telah menziarahi Rumah Anak Yatim Sekendi di Sabak Bernam. Objektif ziarah adalah untuk mengenali dengan lebih dekat penjaga rumah kebajikan tersebut yang difahamkan adalah golongan kelainan upaya (OKU). Setelah tiba di Sungai Besar, kami singgah sebentar di stesen Petronas untuk bertanya arah ke rumah anak yatim tersebut. Alangkah terkejutnya kami kerana pekerja di stesen minyak tersebut merupakan bekas penghuni Rumah Anak Yatim Sekendi dan telah meninggalkan rumah tersebut sepuluh tahun dahulu.

Kak Hamisah, bekas penghuni Rumah Anak Yatim Sekendi yang sudah berkeluarga dan bekerja di Stesen Petronas

Setelah mengikut arah dan panduan dari Kak Hamisah, kami tiba di depan papan tanda Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi. Kami disambut oleh penjaga asrama tersebut, Ustaz Halimi dan beliau bercerita serba sedikit mengenai rumah kebajikan ini yang diusahakan oleh arwah ayahanda Ustaz Halimi sendiri 26 tahun dahulu.

Penjaga dan pengasa Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi, Ustaz Halimi

Sebaik sahaja bertemu dengan Ustaz Halimi, pelbagai persoalan timbul di dalam pemikiran kami. Bagaimana Ustaz Halimi menjaga asrama ini? Mampukan Ustaz Halimi menjaga lebih dari 30 anak-anak yatim di sini? Apa yang menyebabkan Ustaz Halimi sanggup dan mampu menguruskan asrama ini selama hampir 30 tahun? Kegigihan dan keazaman beliau amat kami sanjungi dan hormati. Jarang insan seperti beliau yang mampu untuk berbuat demikian. Ustaz Halimi adalah insan luar biasa!

Ustaz Halimi membawa kami ke asrama, iaitu 200 meter dari rumah beliau. Sambil beliau bergerak dengan menggunakan kerusi roda bermotor, beliau menceritakan kisah sejarah Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi sehingga keadaannya kini.

Surau yang baru dicat oleh Celcom

Papan tanda asal Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi

Dapur yang digunakan untuk menyediakan makanan untuk anak-anak yatim

Bangunan asal asrama anak-anak yatim

Menurut Ustaz Halimi, kini 25 orang anak-anak yatim perempuan yang tinggal di asrama dan 20 orang anak-anak yatim lelaki tinggal bersama ibu mereka di rumah. Persekolahan mereka diuruskan oleh Ustaz Halimi sendiri dan ibu-ibu tunggal akan datang membantu dari segi penyediaan makanan dan sebagainya.

PERSABAR bercadang untuk mengadakan kursus peningkatan kemahiran seperti menjahit kepada anak-anak yatim perempuan yang menetap di sana. Disamping mereka dapat manfaat dari kursus tersebut, ia boleh dijadikan pendapatan sampingan dengan mengambil upah menjahit pakaian, langsir dan sebagainya.

Oleh yang demikian, kepada anda semua yang mahu mendermakan mesin jahit yang tidak digunakan lagi dan masih boleh dipakai, bolehlah sedekahkan kepada mereka. InsyaAllah dengan keberkatan sumbangan itu, mereka dapat manfaatkannya. Jika ada antara anda yang tinggal berdekatan dengan asrama ini dan ingin menyumbangkan tenaga dan masa untuk mengajar anak-anak yatim ini asas kemahiran menjahit, boleh datang sendiri ke Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi atau boleh hubungi Mar Izwan di talian 017-667 9272 untuk keterangan lanjut.

Alhamdulillah…

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memberi rahmat ke seluruh alam.

Semenjak PERSABAR muncul di rancangan Assalamualaikum terbitan TV AlHijrah setiap hujung minggu bermula dari minggu lepas, kami mendapat banyak panggilan yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai PERSABAR dan bagaimana untuk memberi sumbangan. Kami amat terharu dengan kesungguhan anda untuk membantu mereka yang memerlukan sokongan dan bantuan dari anda.

Kepada anda yang ingin menambahkan ganjaran dan pahala di bulan yang penuh barakah ini, dan ingin memberi sumbangan bolehlah berbuat demikian:

Ambank Islamic 0742022006387 (cek atas nama ‘Pertubuhan Sukarelawan Amal Bakti Ramadhan Malaysia’ atau ‘PERSABAR’)

Sila faks atau emailkan slip kepada sumbangan@baktiramadhan.org atau di talian 03-6185 4305.

Sila nyatakan juga program yang mana satu untuk disumbangkan. Cth: Dapur Ramadhan, Iftar Mekah, Iftar Prihatin, Ziarah Ramadhan atau umum sahaja.

Sila hubungi wakil PERSABAR, sdra Mar Izwan 017-667 9272 atau sdra Azim 010-435 7776

Sumbangan anda amat kami hargai. Semoga Ramadhan tahun ini menjadi bulan ibadah yang luar biasa bagi kita semua dan memberi sinar harapan baru bagi mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan.

Ziarah Ramadhan : Rumah Titian Kaseh

Pada Ramadhan pertama 1432 Hijrah jam 2 petang, kami berkungjung ke Rumah Titian Kaseh (RTK) yang bertempat di Titiwangsa, Kuala Lumpur. Ketibaan kami disambut oleh pegasas RTK, Pn Sharifah Adlan atau lebih mesra dipanggil Mak Pah sahaja.

Rumah Titian Kaseh

Semasa kedatangan kami, seorang pegawai komunikasi korporat dari PUSRAWI, Jalan Tun Razak juga hadir bagi menawarkan bantuan iaitu rawatan kesihatan percuma kepada semua penghuni RTK sepanjang bulan Ramadhan. Ini adalah peruntukan zakat yang disediakan oleh Hospital PUSRAWI kepada masyarakat. Syabas kepada PUSRAWI dan bersyukur atas bantuan yang diberikan kepada RTK.

Apabila kami memasuki rumah tersebut, kelihatan beberapa kanak-kanak perempuan sedang belajar mengaji dan juga cara-cara bersolat oleh dua orang tenaga pengajar. Kanak-kanak lelaki pula mengulangkaji pelajaran bersama-sama selepas pulang dari sekolah tahfiz berdekatan.

Mereka bertiga adalah adik-beradik, mendapat perlindungan di RTK

Sukarelawan PERSABAR, Sdra Amirudin membantu adik Boy mengeja perkataan di dalam buku tersebut

Mak Pah membantu adik-adik penghuni RTK dalam mengulangkaji pelajaran

Cuti 1 Ramadhan dimanfaatkan dengan mengulangkaji pelajaran

Mak Pah telah menyerahkan borang takaful kanak-kanak di RTK kepada Setiausaha Kehormat PERSABAR, Sdra Fadhlil Azim Jamaludin untuk diuruskan. Bantuan takaful akan diberikan kepada kanak-kanak yang menetap di RTK bagi memastikan masa depan mereka terjamin.

Ternyata Mak Pah seorang wanita yang amat hebat. Penat lelah keringatnya memastikan agar setiap keperluan penghuni di Rumah Titian Kaseh sama ada kanak-kanak, ibu tunggal, wanita keganasan rumah tangga, OKU dan warga tua tidak terabai dan berusaha untuk mendapatkan bantuan dari pelbagai pihak agar RTK mampu beroperasi dan terus membela mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan. Semoga pengorbanan Mak Pah dan kakitangan-kakitangan RTK mendapat keberkatan dan dipermudahkan segala urusan.

Bayi ini baru mengenal dunia tidak sampai 2 minggu. Apakah nasib bayi ini apabila besar kelak?

Kanak-kanak ini amat gembira dan tak henti-henti mengajak kami bermain. Tingkah laku mereka ini sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada penghuni di RTK.

Mak Pah memerhati mereka mengulangkaji pelajaran sambil mendukung bayi yang baru mengenal dunia. Mampukah mereka berjaya seperti kanak-kanak lain di luar sana?