Rumah Anak Yatim Sekendi, Sabak Bernam

Semalam, PERSABAR telah menziarahi Rumah Anak Yatim Sekendi di Sabak Bernam. Objektif ziarah adalah untuk mengenali dengan lebih dekat penjaga rumah kebajikan tersebut yang difahamkan adalah golongan kelainan upaya (OKU). Setelah tiba di Sungai Besar, kami singgah sebentar di stesen Petronas untuk bertanya arah ke rumah anak yatim tersebut. Alangkah terkejutnya kami kerana pekerja di stesen minyak tersebut merupakan bekas penghuni Rumah Anak Yatim Sekendi dan telah meninggalkan rumah tersebut sepuluh tahun dahulu.

Kak Hamisah, bekas penghuni Rumah Anak Yatim Sekendi yang sudah berkeluarga dan bekerja di Stesen Petronas

Setelah mengikut arah dan panduan dari Kak Hamisah, kami tiba di depan papan tanda Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi. Kami disambut oleh penjaga asrama tersebut, Ustaz Halimi dan beliau bercerita serba sedikit mengenai rumah kebajikan ini yang diusahakan oleh arwah ayahanda Ustaz Halimi sendiri 26 tahun dahulu.

Penjaga dan pengasa Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi, Ustaz Halimi

Sebaik sahaja bertemu dengan Ustaz Halimi, pelbagai persoalan timbul di dalam pemikiran kami. Bagaimana Ustaz Halimi menjaga asrama ini? Mampukan Ustaz Halimi menjaga lebih dari 30 anak-anak yatim di sini? Apa yang menyebabkan Ustaz Halimi sanggup dan mampu menguruskan asrama ini selama hampir 30 tahun? Kegigihan dan keazaman beliau amat kami sanjungi dan hormati. Jarang insan seperti beliau yang mampu untuk berbuat demikian. Ustaz Halimi adalah insan luar biasa!

Ustaz Halimi membawa kami ke asrama, iaitu 200 meter dari rumah beliau. Sambil beliau bergerak dengan menggunakan kerusi roda bermotor, beliau menceritakan kisah sejarah Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi sehingga keadaannya kini.

Surau yang baru dicat oleh Celcom

Papan tanda asal Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi

Dapur yang digunakan untuk menyediakan makanan untuk anak-anak yatim

Bangunan asal asrama anak-anak yatim

Menurut Ustaz Halimi, kini 25 orang anak-anak yatim perempuan yang tinggal di asrama dan 20 orang anak-anak yatim lelaki tinggal bersama ibu mereka di rumah. Persekolahan mereka diuruskan oleh Ustaz Halimi sendiri dan ibu-ibu tunggal akan datang membantu dari segi penyediaan makanan dan sebagainya.

PERSABAR bercadang untuk mengadakan kursus peningkatan kemahiran seperti menjahit kepada anak-anak yatim perempuan yang menetap di sana. Disamping mereka dapat manfaat dari kursus tersebut, ia boleh dijadikan pendapatan sampingan dengan mengambil upah menjahit pakaian, langsir dan sebagainya.

Oleh yang demikian, kepada anda semua yang mahu mendermakan mesin jahit yang tidak digunakan lagi dan masih boleh dipakai, bolehlah sedekahkan kepada mereka. InsyaAllah dengan keberkatan sumbangan itu, mereka dapat manfaatkannya. Jika ada antara anda yang tinggal berdekatan dengan asrama ini dan ingin menyumbangkan tenaga dan masa untuk mengajar anak-anak yatim ini asas kemahiran menjahit, boleh datang sendiri ke Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi atau boleh hubungi Mar Izwan di talian 017-667 9272 untuk keterangan lanjut.

1 thought on “Rumah Anak Yatim Sekendi, Sabak Bernam

  1. Pingback: Program PERSABAR | PERTUBUHAN SUKARELAWAN AMAL BAKTI RAMADHAN (PERSABAR)

Leave a comment